Halaman

jom klik

Rabu, 4 Januari 2012

selamat membaca

KEPENTINGAN KREATIVITI

Kepentingan kreativiti dalam membangunkan masyarakat dan negara telah lama
disedari (Storm & Storm, 2002). Para pemimpin, ahli perniagaan, saintis, ahli
sejarah, pendidik dan ahli psikologi menyatakan bahawa kreativiti sangat
diperlukan untuk kelangsungan hidup penduduk di dalam sesebuah negara
terutamanya dalam era globalisasi di mana perubahan, cabaran, dan persaingan
sedang dan akan terus berlaku. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara
yang sedang pesat membangun dan berhasrat untuk menjadi sebuah negara
maju menjelang tahun 2020, keperluan kepada kreativiti rakyatnya adalah lebih
mendesak. Perkembangan ekonomi yang berlaku akibat daripada perubahan
dasar kerajaan yang kini lebih mementingkan sektor industri telah mengubah dan akan terus mengubah taraf dan corak kehidupan masyarakat keseluruhannya.

Perkembangan pesat yang berlaku dalam bidang teknologi dan
komunikasi telah memberikan kesan kepada cara hidup penduduk Malaysia.
Penduduk Malaysia kini telah mengamalkan cara hidup yang lebih canggih dan
oleh itu keperluan mereka kepada latihan dan pendidikan serta kreativiti turut
meningkat kerana mereka memerlukan banyak bimbingan untuk menyesuaikan
diri dengan perkembangan yang berlaku. Isu antarabangsa seperti globalisasi
atau pensejagatan dunia turut mempengaruhi cara hidup masyarakat Malaysia.
Menurut Lee, (2002) globalisasi merujuk kepada kesemua proses-proses dalam
mana kesemua penduduk dunia digabungkan menjadi satu masyarakat dunia.
Menurut beliau lagi dengan membuka ekonominya kepada pasaran global,
Malaysia telah berjaya menarik begitu banyak pelaburan asing untuk datang
melabur. Perkembangan ini memerlukan pendidikan dan latihan tenaga kerja yang
boleh bersaing di peringkat ekonomi antarabangsa. Untuk berdaya saing di
peringkat antarabangsa tenaga kerja kita bukan sahaja perlu memiliki kemahiran
dan pengetahuan yang tinggi bahkan mereka juga perlu memiliki daya kreatif
yang tinggi agar mereka dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang semakin
kompleks dalam pekerjaan mereka (Lee 2002).

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad dalam
satu ucapan ketika majlis makan malam anjuran Akademi Sains Malaysia telah
mencabar komuniti para saintis di Malaysia agar dapat melahirkan seorang
pemenang hadiah nobel di kalangan rakyat Malaysia menjelang tahun 2020
(Sachi, 2004). Beliau juga berpendapat bahawa generasi pewaris yang hidup
dalam abad ke-21 perlu berfikiran kreatif dan kritis di samping bersifat kaya
maklumat serta maju dalam bidang sains dan teknologi. Menurut Ikhsan dan
Norila (2005) pula, usaha bagi menggalakkan para pelajar kearah berfikir secara
kreatif dan kritis mestilah dimulakan di peringkat sekolah rendah lagi kerana
peringkat ini dianggap sebagai masa yang paling sesuai untuk meletakkan batu
asas bagi pelaksanaan pendidikan seterusnya.



areaiy 8990

Tiada ulasan:

Catat Ulasan